Melihat Kalimah Allah Di Langit SKBH
Pada hari Isnin, tanggal 23 Ogos 2010 bersamaan 13 Ramadhan 1431H, pukul 12.52 petang, aku membuka pintu kereta untuk memasukkan beg dan laptop dalam kereta sementara aku menyuruh anakku mandi untuk ke kelas KAFA. Aku berasa sesuatu melekat di kerongkongku. Aku lantas ke longkang di hadapan kereta untuk berludah. Maklumlah bulan puasa. Aku mendongak ke atas garaj kereta ke arah langit sambil berkhayal alangkah seronoknya kalau nampak kalimah Allah di langit, bisik hatiku.
Secara tiba-tiba aku mengamati sekelompok awan terbentang memenuhi langit antara garaj kereta dan tempat parking kereta di atas padang itu perlahan-lahan ditiup angin lalu membentuk kalimah Allah dalam tulisan Arab. Alif lam lam ha bermaksud Allah. Aku tergesa-gesa membuka beg tanganku lalu merakamkan gambar itu dengan telefon bimbit. Bila aku sempat merakamnya, angin meniup huruf alif itu hampir bertemu dengan huruf lam. Subhanallah, Maha Suci Engkau ya Allah. Aku dapat menyaksikan tanda-tanda kebesaran-Mu di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.
Aku tidak menceritakan peristiwa itu kepada sesiapa pun di tempat kerjaku kecuali suamiku. Yalah, siapalah aku ini untuk menghebahkan kepada semua. Aku takut jadi riya’ pula. Aku diamkan sahaja walaupun setahun sudah berlalu. Gambar dari telefon bimbit yang ku print itu satu-satunya yang amat berharga bagiku.

No comments:
Post a Comment